Persiapan Monsun Timur Laut: PETRA dan JPS Giat Kesiapsiagaan Hadapi Risiko Banjir
PUTRAJAYA — Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperkukuh langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula sejak 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2027.
Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa pengurusan risiko banjir digerakkan menerusi pemantauan berterusan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi memastikan langkah mitigasi bencana dapat diambil lebih awal.
Berdasarkan rekod operasi musim monsun 2025/2026 lalu, PRABN telah mengeluarkan 103 buletin hebahan, terdiri daripada 64 Buletin Ramalan Awal Banjir dan 39 Buletin Amaran Banjir. Sebanyak 14.8 juta pesanan ringkas amaran turut dihantar melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke kawasan berisiko tinggi.
Rekod bencana musim lalu mencatatkan sebanyak 799 kejadian banjir di seluruh Malaysia, merangkumi 480 insiden banjir monsun, 274 banjir kilat, 25 banjir genang dan 20 kejadian banjir pantai.
PETRA memaklumkan 1,079 unit pintu kawalan air dan 285 rumah pam berada dalam keadaan baik serta siap sedia, manakala 580 unit pam kecemasan mudah alih tersedia untuk digerakkan ke lokasi kritikal.
Sumber: Bernama









Belum ada komen. Jadilah yang pertama!