Kes Bunuh Remaja di Sibu: Polis Tahan Sembilan Individu Termasuk Remaja 16 Tahun

SIBU — Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu antara 10 pagi hingga 4 petang hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan kira-kira 2 pagi mengenai kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul oleh sekumpulan individu.

Dalam insiden berkenaan, mangsa dipercayai ditikam pada bahagian dada dengan senjata tajam kira-kira 12 tengah malam dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Abang Zainal Abidin memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar tampil membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian