Tahap Ancaman Siber Kekal Sederhana, NACSA dan Bank Negara Perketat Pemantauan NCII

KUALA LUMPUR — Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengesahkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara kekal pada tahap sederhana, dengan situasi keselamatan siber semasa berada dalam keadaan terkawal.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri menerusi NACSA dalam kenyataan memaklumkan bahawa Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) sedang memantau situasi secara berterusan susulan perkembangan keselamatan terkini.

NACSA turut mengambil maklum mengenai insiden keselamatan siber dan gangguan sistem yang melibatkan beberapa institusi kewangan di negara ini, serta sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memantau perkembangan insiden berkenaan.

Bank Negara Malaysia selaku Ketua Sektor Perbankan dan Kewangan sedang melaksanakan langkah kesiapsiagaan menyeluruh dan bersepadu, termasuk pemantauan berterusan tahap keselamatan siber entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) di bawah sektor itu.

NACSA turut bekerjasama dengan ketua sektor dan entiti NCII bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikesan serta ditangani segera demi kelancaran operasi perkhidmatan penting negara.

Agensi itu mengingatkan orang ramai agar tidak mempercayai atau menyebarkan dakwaan berkaitan serangan siber yang tidak disahkan termasuk hantaran yang tular di media sosial, sebaliknya merujuk saluran komunikasi rasmi kerajaan, Bank Negara Malaysia, dan institusi kewangan masing-masing.

Sumber: Sinar Harian