Perutusan Deepavali: PM Anwar Seru Eratkan Perpaduan dan Sikap Saling Menghormati
PETALING JAYA — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sambutan Deepavali yang diraikan masyarakat beragama Hindu membawa mesej kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan, serta ilmu membebaskan manusia daripada kejahilan dan keangkuhan.
Beliau berkata perayaan itu turut mengingatkan rakyat mengenai kepentingan nilai saling menghormati, memahami, dan menerima perbezaan dalam sebuah negara yang berteraskan kepelbagaian budaya serta tradisi.
Menurut Anwar, nilai berkenaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini sentiasa terpelihara dalam mengharungi cabaran semasa.
Beliau menggesa orang ramai menjadikan sambutan pesta cahaya sebagai wadah mempererat perpaduan, merapatkan jurang antara kaum, serta menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Anwar turut berharap perayaan ini menyuntik semangat baharu kepada rakyat untuk membina pemikiran yang lebih terbuka, murni, dan progresif demi mengangkat martabat rakyat serta memperkukuh keharmonian negara.
Sumber: Utusan Malaysia









Belum ada komen. Jadilah yang pertama!