Jumlah Mangsa Banjir di Selangor dan Perak Meningkat Kepada 4,504 Orang Petang Ini

KUALA LUMPUR — Situasi banjir di Selangor dan Perak terus memburuk apabila jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 4,504 orang pada petang Sabtu berbanding 1,404 orang pada sebelah pagi.

Di Selangor, jumlah mangsa mencatatkan peningkatan dengan 4,234 mangsa daripada 251 keluarga ditempatkan di tujuh PPS, berbanding 1,206 mangsa daripada 316 keluarga di sembilan PPS pada sebelah pagi.

Menurut data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS masih beroperasi di daerah Kuala Selangor. Pusat berkenaan merangkumi Sekolah Agama Batu Lapan Ijok yang menempatkan 2,999 mangsa daripada 67 keluarga, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (799 mangsa, 61 keluarga), SK Dato’ Maharaja Lela (192 mangsa, 61 keluarga), serta SK Jaya Setia (71 mangsa, 21 keluarga).

Dua PPS di Shah Alam iaitu Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di Seksyen U5 menempatkan 59 mangsa daripada 15 keluarga, manakala PPS Kampung Melayu Subang menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga. Di daerah Klang, seramai 67 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Dewan Masjid Al-Taqwa, Bukit Kapar. Dua PPS yang telah ditutup ialah SK Desa Aman di Kuala Selangor dan SK Merbau Sempak di Shah Alam.

Di Perak, jumlah mangsa banjir dan ribut meningkat kepada 270 orang daripada 79 keluarga membabitkan daerah Hilir Perak dan Manjung berbanding 198 orang daripada 58 keluarga pada sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan jumlah mangsa di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap kekal 137 orang daripada 40 keluarga, manakala di Dewan Rumah Rehat MPTI meningkat kepada 107 orang daripada 32 keluarga. Seramai 26 mangsa daripada tujuh keluarga yang terjejas akibat ribut pula ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Manjung. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di semua daerah terbabit pada sebelah malam.

Sumber: Utusan Malaysia