Tiada Arahan Simpan Bekalan Makanan 72 Jam, Jaminan Stok Beras Negara Cukup Enam Bulan
MELAKA — Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada orang ramai supaya menyimpan bekalan makanan bagi tempoh 72 jam susulan kebimbangan situasi semasa termasuk ancaman siber.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan masyarakat tidak perlu berasa cemas atau melakukan pembelian panik kerana kedudukan bekalan asas negara berada pada tahap terkawal.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Semarak Tani Jualan Agro MADANI di Bukit Katil pada Sabtu, Mohamad memberi jaminan bahawa stok beras negara ketika ini mencukupi untuk menampung keperluan rakyat selama enam bulan dan jumlah itu akan terus ditambah secara berkala.
Penjelasan itu hadir susulan saranan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) semalam yang menggesa pengguna menyediakan simpanan stok makanan sekurang-kurangnya 72 jam sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.
Mohamad berkata KPKM sentiasa menilai keadaan semasa, termasuk melalui kerjasama dengan pihak universiti dan penyelidik, dan meminta orang ramai meneruskan perbelanjaan harian mengikut keperluan masing-masing.
Sumber: Bernama









Belum ada komen. Jadilah yang pertama!