Penguatkuasaan Imigresen Catat Kutipan Kompaun RM91.78 Juta, Majikan Sumbang 54.5 Peratus

PUTRAJAYA — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengutip kompaun berjumlah RM91.78 juta membabitkan 32,052 individu dan entiti atas pelbagai kesalahan imigresen bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober 2026.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook hari ini berkata daripada jumlah itu, RM50.04 juta melibatkan 2,459 majikan yang melanggar peraturan penggajian warga asing.

Baki RM41.74 juta pula membabitkan 29,593 pendatang tanpa izin bagi tempoh yang sama.

Saifuddin Nasution menjelaskan tindakan terhadap majikan mewakili 54.5 peratus daripada jumlah nilai kutipan, sekali gus membuktikan iltizam kerajaan bahawa tindakan penguatkuasaan menyasar kedua-dua pihak, melibatkan majikan yang culas di samping pekerja asing tanpa dokumen sah.

Beliau berkata kehadiran warga asing tanpa dokumen sah terus menimbulkan kebimbangan masyarakat, bukan sahaja dari segi pematuhan undang-undang imigresen tetapi juga pengurusan warga asing serta keselamatan dan ketenteraman awam.

Sumber: Bernama