Amaran Hujan Berterusan: Penduduk Lembangan Sungai di Enam Daerah Terengganu Diminta Waspada

KUALA TERENGGANU — Penduduk yang menetap di sepanjang lembangan sungai utama di enam daerah di Terengganu dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Amaran cuaca berkenaan berkuat kuasa selama empat hari bermula Ahad membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Osman Abdullah memaklumkan lembangan sungai yang berada dalam zon pemerhatian rapi merangkumi Sungai Besut, Sungai Keluang dan Sungai Semarak di Besut, manakala di Setiu melibatkan Sungai Merang dan Sungai Nerus.

Lembangan lain yang turut dipantau ialah Sungai Mengabang Telipot, Sungai Mengabang Besar dan Sungai Mengabang Telung di Kuala Nerus, Sungai Ibai di Kuala Terengganu, Sungai Marang di Hulu Terengganu serta Sungai Merchang di Marang.

Osman menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan berisiko banjir, kawasan rendah dan berhampiran sungai, supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa daripada pelbagai platform pihak berkuasa.

Sumber: Bernama