Arahan Henti Kerja dan Pelan Mitigasi 7 Hari
GEORGE TOWN — Pemilik tanah dan pemaju projek pembangunan di kawasan cerun berhampiran Taman Seri Rambai, Paya Terubong perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya termasuk berdepan implikasi undang-undang susulan insiden tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor warga emas pada Ahad lalu. Ketegasan itu dinyatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, selepas meninjau lokasi kejadian pada Selasa.
Kon Yeow memaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta di tapak projek kondominium dan jalan terbabit. Pihak pemaju turut diberi tempoh tujuh hari bagi mengemukakan pelan mitigasi bagi menangani risiko keselamatan di tapak berkenaan.
“Mereka perlu bertanggungjawab atas kesan-kesan daripada runtuhan ini, maksudnya memikul implikasi undang-undang, daripada segi kelulusan pelan itu dan kerja-kerja mitigasi untuk memulihkan keselamatan tapak,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian.
Cerun Belum Distabilkan Runtuh Ketika Hujan
Tragedi yang berlaku kira-kira jam 8.36 pagi Ahad itu meragut nyawa Dr Wong Kar Lin, 73, yang maut tertimbus selepas tanah runtuh menjejaskan kediamannya. Isterinya, Chang Mei Nuo, 68, bersama ibu mentuanya berusia 80-an bagaimanapun terselamat daripada kejadian berkenaan.
Menurut Kon Yeow, maklumat awal daripada Jabatan Kejuruteraan MBPP dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menunjukkan kegagalan cerun berlaku di bahagian tapak yang belum menjalani kerja penstabilan.
Hujan lebat yang turun berterusan selama beberapa hari sebelum kejadian dipercayai menyebabkan resapan air ke dalam tanah di cerun yang belum distabilkan itu sebelum runtuh dan menjejaskan kediaman mangsa.
Laporan Penuh Siap Dalam Dua Hari
Kerajaan negeri menjangkakan laporan teknikal lengkap berhubung punca sebenar runtuhan akan dibentangkan oleh MBPP dan agensi berkaitan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi.
Mengulas status projek, Kon Yeow menjelaskan pelan pembangunan di kawasan itu asalnya diluluskan pada 1996 sebelum melalui beberapa pindaan akibat pertukaran pemaju, dengan kelulusan terkini pada 2023 yang tertakluk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa serta syarat teknikal, penilaian impak alam sekitar (EIA), trafik dan impak sosial.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut diarahkan memperketat pemantauan di semua tapak projek sepanjang musim hujan ini.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian










Belum ada komen. Jadilah yang pertama!